Faedah Membaca Untuk Kanak-Kanak Kecil

‘Membaca Jambatan Ilmu’. Membaca adalah satu aktiviti yang tidak ada kerugian baginya. Sedangkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw juga adalah ayat ‘Iqra’ yang bermaksud bacalah. Ini menunjukkan bahawa agama Islam sangat mementingkan budaya membaca dalam kalangan umatnya. Disini, kami huraikan beberapa faedah membaca untuk kanak-kanak kecil.

Menambah Perbendaharaan Kata

Melalui pembacaan, anak akan terbiasa mendengar/melihat pelbagai perbendaharaan kata yang baru. Ini akan memperkaya kosa kata mereka dan membantu mereka dalam memahami berbagai perkara yang ada di sekitar mereka. Hal ini juga merupakan salah satu cara yang paling efektif untuk membuat otak agar lebih berkembang kerana anak dirangsang untuk memperkaya bahasa mereka.

Meningkatkan Keterampilan Komunikasi

Dengan perbendaharaan kata yang semakin banyak, ia dapat membantu anak lebih mudah dalam berkomunikasi. Mereka akan lebih percaya diri dalam berucap kerana mereka kaya dengan berbagai kata dan perkataan. Malah, hal ini juga dapat membantu anak-anak untuk menyusun perkataan dengan baik. Selain itu, sewaktu ibu bapa membacakan buku kepada anak-anak, sebaiknya pembacaan tersebut berlaku dengan nada suara serta intinasi yang dapat didengar dengan baik oleh anak-anak (read a loud). Kerana dengan read a loud, ibu bapa sebenarnya telah mengajarkan banyak keterampilan dalam berkomunikasi. Anak-anak juga akan belajar bagaimana cara untuk berkata-kata, mendengar dan membaca dengan baik.

Mengenalkan Konsep Baru

Berbagai konsep dalam kehidupan dapat ibu bapa kenalkan kepda anak-anak melalui membaca. Mulai dari pengenalan berbagai jenis warna, bentuk, huruf, angka dan lain-lain. Malah, kebiasaannya, anak-anak yang bersifat inkuiri akan sering bertanya soalan sekiranya ibu bapa membacakan sesuatu konsep atau ilmu yang baru kepada mereka. Sesi soal jawab ini secara tidak langsung sangat membantu anak-anak untuk memahami seuatu konsep baru.

Melatih Kemampuan Berfikiran Logik

Membaca dapat melatih anak untuk berfikiran logik. Ketika ibu bapa membacakan buku untuk anak, mereka akan belajar untuk memahami sebab dan akibat, belajar untuk memahami konsep ilmu logik, serta berfikir secara abstrak. Anak juga akan belajar mengenai akibat dari suatu tindakan, dan hukum-hukum apa yang benar dan salah. Biasakan anak untuk berani mengambil keputusan sendiri. Contohnya, anak dibacakan buku cerita tentang ‘Akibat membuang sampah merata-rata’. Dari bacaan tersebut, anak akan dilatih berfikir bahawa kalau mereka membuang sampah merata-rata akan menyebabkan kesan-kesan yang tidak elok, seperti banjir, penyakit dan pencemaran dan lain-lain..

Mengembangkan Imaginasi dan Kreativiti

Membaca tentang aneka ragam kehidupan dapat membuka fikiran anak-anak. Informasi yang mereka terima dapat membantu mengembangkan kreativiti otak mereka. Ini kerana anak akan terpanggil untuk memiliki rasa ingin tahu terhadap sesuatu cerita atau ilmu baru yang diperolehi daripada pembacaannya. Secara tidak langsung, ia dapat memotivasikan mereka untuk membuat suatu inovasi melalui daya imaginasi dan kreativitinya.