Bagaimana memilih buku yang sesuai untuk anak anda yang gemar membaca?
Ketahui langkah-langkah yang boleh anda lakukan dalam usaha untuk melatih anak gemar membaca melalui tip pemilihan bahan bacaan yang sesuai seperti berikut :
Bahan yang menarik
Kanak-kanak akan lebih tertarik kepada bahan yang berwarna. Jadi, faktor warna amatlah penting jika anda ingin mula mendidik anak gemar membaca. Cari buku yang mengandungi gambar dan warna yang menarik untuk memikat hati anak anda mencintai buku.
Apa yang digemari anak anda?
Fahami kegemaran anak anda. Jika anak anda menyukai kereta, cari buku yang berkisarkan tentang kereta. Begitu juga jika anak anda seorang penggemar kartun, carilah buku yang berkaitan dengan kartun kegemaran anak anda.
Pilihan bacaan pertama anak
Pilih buku yang sesuai mengikut usia anak anda. Buat permulaan, carilah buku yang mengandungi teks yang ringkas dan sedikit, dengan gambar yang besar dan menarik. Jangan terus memberikan anak anda buku yang mengandungi banyak teks.
Bawa anak bersama
Salah satu cara untuk melatih anak gemar membaca adalah dengan menyuruhnya memilih sendiri bahan bacaan yang dia inginkan. Jadi, sesekali bawa anak anda bersama ke kedai buku ataupun perpustakaan untuk dia memilih buku yang ingin dibaca. Walau bagaimanapun, anda masih perlu membantu kanak-kanak memilih buku yang sesuai mengikut usia mereka.